Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Friday, February 11, 2011

Pesona Islam Liberal



Katakan, sepasang kekasih berlainan anutan agama sedang hangat bercinta. Yang lelaki beragama Islam, untuk memudahkan cerita, sebut sahaja namanya Ahmad. Dan, si gadis pula berketurunan Tionghua, Mei Mei. Akhirnya kehangatan cinta itu mahu dipateri dengan ikatan suci perkahwinan. Tentulah dengan ikatan menurut Islam pada fikiran Ahmad, tiada pilihan lain lagi.

Namun, ah
, cinta sejati konon -- tidak selalu berakhir dengan indah; si gadis tidak sanggup menukar pegangan warisan nenek moyangnya, ditambah, setelah mendapat kata dua dari orang tuanya.Mereka pun putus dan mengundang seribu kekecewaan buat kedua-duanya.Lebih-lebih buat Ahmad.
Sampai
dia menyoal yang bukan-bukan akan kegagalan cintanya bersemi dengan perkahwinan; mengapa Mei Mei tidak dilahir seagama dengannya?; atau mengapa dia tidak seperti Mei Mei? Persoalan-persoalan itu membuahkan kesimpulan: agamalah yang menyekat penyatuan ini.

Untuk membenarkan kesimpulannya, pilihan yang ada dengan klik-klik di internet mencari jawapan atau sebenarnya mencari kebebasan fatwa. Pencarian itu tentu akan memasuki daerah-daerah Islam yang lebih bebas dan mempersonakan yang tidak terikat dengan tafsiran mengikut literal semata-mata: Islam Liberal.

Jika Faisal Tehrani menfiksi watak Ali Taqi dalam novel Tuhan Manusia, seorang adik yang cuba memahami kemurtadan abangnya Talha akibat terpesona dengan pluralisme agama.Begitu juga yang mungkin dialami Ahmad yang difiksyenkan ini.

Ada sebuah dialog yang begitu mengesan dalam novel Tuhan Manusia.''Setelah kita mengkaji dan mengkaji, kita dapati semua masalah yang timbul di dunia hari ini ialah kerana agama. Agamalah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah, saling bertentangan sehingga bukan sahaja permusuhan ini berlaku antara agama tetapi juga dalam agama itu sendiri.''

Maka tidak hairanlah jika antara kita bersetuju dengan kenyataan di atas menurut logik akal semata-mata. Lihat, di Pakistan setiap 10 Muharam, pasti ada pengeboman antara Syiah dan Sunnah, di Iraq pun. Di Ireland Utara, Kristian sama Kristian masih berbalah. Tidak usah pergi jauh, sama-sama kita ini pun yang mengaku mengikut Sunnah ini pun masih bertengkar dalam banyak soal; bacaan qunut,maulid nabi,tuhan bertangan, tuhan duduk atas arasy dan sebagainya.

Untuk itu Islam Liberal yang dipelopori beberapa tokoh seberang seperti Nurcholish Madjid, Ulil Abshar serta Pak Gus Dur akhirnya memberi jawapan akan persoalan yang bermain difikir orang seperti Ahmad. Iaitu, membangun agama dengan menghormati agama lain.Dan,dengan tamsil yang indah-indah Pak Gur Dur seperti yang terangkan oleh pembantunya, 'Al- Zastrouw Ng,''Dalam pemahaman penulis, pluralisme yang diperjuangkan Gus Dur bukan mengubah melati menjadi kenanga, dan sebaliknya.. Pluralisme Gus Dur adalah menjaga dan memelihara mawar, melati, kenanga, dan sebagainya bisa tumbuh berdampingan secara damai, agar taman sari Indonesia menjadi indah dan sejahtera.''(Gatra,20 Januari 2010)

Bunyinya agak mempersonakan Ahmad.


Keterpesonaan akan Islam Liberal Ahmad makin jauh, dengan bersandarkan logik semata-mata juga, beliau menilai pula kitab al-Quran -- adakah benar-benar suci?Penilaian ini dibuat setelah membaca pendapat beberapa orientalis yang didukung pengikut Islam liberal.Antara Arthur Jeffery dalam, The Quran as Scripture, The Muslim Word. Menurutnya, masyarakat itulah yang mengangkat sesebuah kitab itu suci atau tidak.Semua penganut agama akan beranggapan kitab merekalah yang betul.


Lalu Ahmad menyetuju pendapat ini.Ini membuatkan hatinya membulat, bahawa agama adalah sama-sama menuju kebenaran.Dan segala permasalahannya dapat diselesaikan jika memakai fatwa Islam Liberal -- beliau boleh mengahwini Mei Mei-nya.


Mengambil contoh perkahwinan Ahmad Nurcholish dengan Ang Mei Yong di Islamic Study Center Paramadina dan seterusnya pengantin itu dirai pula Sektretariat Majlis Agama Khonghucu, Jakarta.Berani dan hebat tindakan mereka.Ia menjadi kebanggaan Ahmad.


Ahmad, yang diwatakkan di atas mungkin ada antara kita.Yang terpesona dengan Islam Liberal setelah melalui beberapa kekangan agama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita memperbetul dan memberi pencerahan kepada orang-orang sepertinya.Dikala birokrat agama dan sistem pendidikan Islam di sekolah belum bersedia menjawab persoalan ini yang hanya bersedia dengan rotan manja ala syariah dan jawapan-jawapan latih tubi untuk mendapat 'A' dalam peperiksaan bagi Pendidikan Islam.


Kita tidak mahu orang-orang ini mengikut jejak Ulil Abshar Abdalla,yang dibesar dalam kekangan yang ketat ala pesantren dan banyak perkara ''diharamkan'' untuknya oleh ayah beliau.''Saya dahagakan ilmu pengetahuan. Saya ingin tahu segala-galanya.Walaupun kami sangat miskin, saya akan mencuri-curi keluar dan membaca buku dan akhbar yang 'diharamkan' itu. Ada sekali ayah saya dapat tahu lantas saya dipukul,''seperti yang diceritakan Karim Raslan dalam Menjajat Asia Tenggara, Ceritalah 2. Akhirnya, Ulil lepas dari ayahnya dan menjadi pendukung kuat Jaringan Islam Liberal. Jika betul apa yang dikatakan, semuanya bermula dengan kekangan yang dianggap ''gelap'' itu.


Moga sesiapa seperti Ahmad itu kembali ke Islam yang benar dan mendapat pencerahan.

Monday, March 2, 2009

Buku Pilihan 2008


Dalam banyak-banyak buku yang saya beli dan dapat percuma tahun lepas. Boleh dikatakan setiap minggu saya membeli buku.Hanya dua buku ini sahaja menjadi pilihan utama. Saya sentiasa membawanya jika terlibat dengan tugas jurnalistik ditempat yang jauh. Sampai buku-buku keronyok.

1. Fiksyen- Novel Tuhan Manusia, karya Faisal Tehrani.

Novel ini memberi saya banyak bekal, beri semangat dan keyakinan.Dalam isu Islam Liberal saya pernah terluka hati.Hidup sebagai warga Thailand terlalu banyak cabaran dan dugaan.Saya risau akan kempen-kempen agresif mereka. Seperti yang dibangkit Faisal dalam novel ini.

Mereka terus berhujah mengaruhi kita; ''Setelah kita mengkaji dan mengkaji, kita dapati semua masalah yang timbul di dunia hari ini ialah kerana agama. Agamalah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah, saling bertentangan sehingga bukan sahaja permusuhan ini berlaku antara agama tetapi juga dalam agama itu sendiri.''

Sekadar contoh kata mereka, lihat di Ambon,Indonesia, di Nigeria ada sahaja pertentangan antara Islam dan Kristian. Pakistan, Sunnah lawan Syiah. Begitu juga di Iraq. Di Ireland Utara, konflik bernuansa Kristian belum pun habis-habis.

Mereka cuba mengelirukan lagi; '' Itu sunnah Allah. Kalaupun ada orang nak murtad asalkan mereka baik tidak menjadi hal. Agama sama. Semua orang yang baik masuk syurga. Takkan kau nak hujahkan Mother Theresa masuk neraka? Dia baik. Takkan kau nak hujahkan Mahatma Gandhi juga masuk neraka, sedangkan dia orang baik.''

Dan mereka terus menyesatkan lagi; '' Islamkan agama bebas, tiada paksaan terhadap agama. Kita mendorong dan mengajak orang masuk Islam, kenapa pulak kita nak larang orang meninggalkanya.''

2.Bukan Fiksyen- Dari Beirut ke Jerusalem(Terjemahan Bahasa Melayu), tulisan Dr. Ang Swee Chai.

Apa yang ditulis Dr Swee ini sangat menyentak perasaan saya.Bila teringatkan Palestin , teringat saya pada Dr Swee.Ketika Gaza dibom betapa sakitnya hati saya. Setiap kali membacanya, pasti saya akan sebak. Saya sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untul Palestin.

Baca apa yang dilihat Dr Swee semasa pembantaian Kem Sabra dan Shatila.

''Saya mula menangis. Kini barulah saya faham apa yang sebenarnya berlaku. Ia benar-benar menyentak jiwa saya. Saya terlalu sibuk sebelum ini sehingga tidak sempat berfikir. Tetapi sekarang saya sedar. Sewaktu kami berhempas pulas cuba menyelamatkan beberapa kerat nyawa di bilik pembedahan,beribu-ribu penghuni kem dibunuh beramai-ramai di kediaman mereka, tidak cukup dengan ditembak, mereka juga diseksa sebelum dibunuh.

Mereka dipukul dengan kejam,diikat dengan wayar, mata mereka dikorek,wanita dirogol bergilir-gilir dan kanak-kanak dibom hidup-hidup. Apabila melihat mayat mereka yang patah riuk, saya percaya mana-mana yang mati serta merta adalah mereka yang bernasib baik.''

Friday, February 20, 2009

Gersang Buku di Pattani

Suasana sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kini, berderet buku-buku agama berbahasa Thai menghiasi rak-rak. Dengan cover yang berwarna-warni dan ditambah pula judul yang menarik pasti memikat mata untuk memandang.

Semua ini boleh dilihat dibanyak kedai buku atau kedai kitab panggil penduduk tempatan di selatan Thai. Contohnya, kedai Mittraphap di Jalan Rudee, tengah-tengah bandar Pattani. Tandanya, masyarakat Islam terutama generasi baru mula senang mendampingi buku-buku agama menerusi bahasa Thai.

Kehadiran buku-buku seperti ini samaada terjemahan bahasa Arab mahupun terus dalam bahasa Thai sedikit sebanyak '' menenggelamkan'' kitab-kitab jawi atau kuning yang nampak kusam pada luarannya.

Begitulah pendahuluan cerita saya pada artikel Ulama Pattani Sudah Kering Penanya?Saya kecewa sebenarnya apa yang di Pattani kini.Dan saya menutup dengan kesimpulan yang muram;
Melihat kepada realiti Pattani hari ini, rasanya lambat lagi untuk mendapat dan membaca novel islamik yang bertulis jawi. Atau itu hanya sebuah impian yang tidak akan kesampaian.

Lanjut, boleh dibaca pada majalah
Milenia Muslim Februari 2009.

Nota: Secara peribadi saya agak tidak berpuas hati apa yang ditulis itu. Terasa longgar sangat. Semua ini disebabkan oleh saya menulis dengan tergesa-gesa kerana menghambat deadline yang diberi editor. Insya-Allah, nanti saya akan menyambungnya dengan melihat sisi lain terutama kesan generasi muda Pattani akan kemarau tulisan Melayu ini.

Wednesday, November 5, 2008

Ulama Dari Pinggiran

Patani (atau selatan Thai) hari ini lebih dikenali dari sisi-sisi negatif -- tempat orang melepas nafsu,lubuk judi, sabung ayam mahupun laga orang. Dan pelbagai tanggapan negatif lagi.Sememangnya gambaran sedemikian amat mengecewakan orang Patani. Namun orang Patani harus menerimanya.


Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu.



Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan. Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.



Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fathani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20. Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak.



Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."



Buku yang meletakkan Sheikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.



Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;



"Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim)



Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan.



Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok.



Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong. Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.



Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.



Isu ketuhanan, tentang sembelihan dan beberapa isu lagi yang dibawanya telah menimbul perdebatan hangat. Sebelum tahun 60-an boleh dikatakan ulama Patani sekata dalam banyak hal sebelum kemunculannya.
Banyak pihak berpendapat ketegasannya tidak digunakan untuk membangun masayarakat Patani yang ditekan kerajaan tahun-tahun 60-an dan 70-an. Sebaliknya banyak berpolimik dalam isu khilafiyah.



Ayah saya antara anak muridnya yang sepuluh tahun memondok di Bendang Kebun. Saya dapat rasa akan pengaruh tok gurunya dalam kehidupan seharian. Ayah seorang yang tegas dan keras pandangannya. Selalu berlaku pertentangan dalam diri saya -- tentang apa yang diajar oleh ustaz di sekolah( Malaysia) -- dengan apa yang diajar oleh ayah pada sebelah malam megikut faham gurunya. Namun saya bersyukur dibesar dalam dimensi pemikiran yang berbeza-beza. Ia membuat kita lebih terbuka dan memahami.



Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelit keberkatan tuan guru atau lebih difahami masyarakat Melayu sebagi keramat. Masyarakat sangat menghormati tok guru kerana keramatnya termasuk penjahat tempatan. Oleh itu pada zaman dahulu ulama yang menjadi tempat penduduk bergantung harap mendapat pertolongan atau perlindungan dari samseng-samseng. Terutama melindungi anak-anak gadis yang sentiasa menjadi sasaran culik pada masa itu.



Secara umumnya buku terbitan Penerbit UKM secara langsung menambah lagi koleksi bahan-bahan bertulis tentang Patani dalam dunia perbukuan moden. Lebih-lebih lagi terbitan versi jawi telah memberi ruang kepada pembaca khususnya selatan Thai. Saya masih ingat satu kuiz yang dianjur radio tempatan tentang sejarah Patani ketika tahun aman dahulu, tidak disangka ramai pemanggil berebut-rebut terutama muda-mudi untuk menjawabnya. Hadiahnya buku ini. Saya merindui masa itu. Aman.