Sunday, November 24, 2013
PASSPORT: Kisah-kisah Penyeberang Sungai Golok
Friday, September 13, 2013
Cerpen ''Rindu Cerita Nenek"
Saya membesar dengan kisah-kisah sejarah, dan cerita-cerita inilah yang sedikit sebanyak membentuk pendirian saya sekarang. Ini kisah rindu. Sedikit sedutan cerpen yang di muat dalam majalah Dewan Budaya edisi Julai 2013:
Thursday, December 27, 2012
Cerpen "Ke Negeri Impian"
Setiap kali kakinya melangkah menuruti langkah-langkah pakcik tukang kebun sekolah, dan emak ke pejabat sekolah, hati sangat berdebar-debar meskipun dia juga teruja dengan suasana keriangan itu. Dia berdebar kerana bahasa yang dia dan emaknya tuturkan. Ia berbunyi lain berbanding murid-murid yang sedang bercakap, bertempik, dan berteriak di sana sini. Malam sebelumnya emak memberi ingatan kepadanya, "Esok masuk sekolah, berhati-hati bila berkecek, jangan kecek macam orang Tani, cuba kecek macam orang Kelate. Kalau tak, orang sini akan pandang rendah pada kita." Beberapa tahun kemudian barulah dia faham betapa orang Patani atau orang Melayu sebelah Siam dianggap orang Melayu kelas kedua di sini mengikut persepsinya.
''Awak, pertama kali saya tertarik pada awak ketika awak mula-mula sekolah rendah dulu. Awak menjadi perhatian semua orang di sekolah. Ramai orang mengejek awak kerana loghat Patani awak yang pekat. Orang juga gelar awak pendatang tanpa izin. Saya perasan awak banyak diam, banyak menunduk ketika di sekolah. Sejak itulah rasa kesihan tumbuh dalam dari saya pada awak. Saya mahu jadi pelindung awak, jadi hero awak. Awak sudi tak?"
Untuk baca sepenuhnya sila Ke Negeri Impian...
Thursday, February 16, 2012
Abdullah 'Memurtadkan' Bahasa Melayu

Nota: Resensi ini dimuat dalam majalah Milenia Muslim edisi September 2008.
Isu penggunaan nama Allah dan Bible Melayu antara perkara yang membuatkan kita tidak akan lupa kepada Abdullah Munsyi, pengkritik awal budaya Melayu. Beliau orang pertama menjadikan bible al- Masieh atau al- Kuddus. Hingga beliau dicap Abdullah Paderi.
Sesungguhnya pekerjaan beliau itu mendapat tohmahan besar masyarakat di zamannya dan hingga kini sesetengah kita. Dengan anggapan, 'memurtadkan' bahasa Melayu adalah satu cubaan untuk mengkafirkan penuturnya. ( Walaupun ada yang berpendapat tindakan tersebut dapat memberi kemudahan umat Islam khususnya Melayu dapat mengkaji penyelewengan bible dan seterusnya dapat dijadikan alat untuk menentang sebarang misi misionari)
Lalu, beliau menulis membalas tuduhan tersebut: " Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya; maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? Aku tiada mahu mendengar perkataan bodoh itu."
Namun seperti yang diketahui pekerjaan beliau itu lebih kepada faktor ekonomi iaitu sebagai penterjemah dan guru bahasa Melayu buat paderi-paderi. Jelas beliau tidak memahami sensitiviti Melayu. Melayu bukan sekadar bahasa atau merujuk kepada orang-orang.
Benar, Abdullah bukan Melayu asal, beliau peranakan India. Lagipun, beliau tinggal di bawah kekuasaan penjajah. Bukan di bawah kesultanan Melayu yang korup pada pandangannya.
Di atas antara hal yang dapat dijungkirbalik setelah membaca buku tulisan Zahari A. Rashid, Kenang-kenangan Abdullah Munsyi, dengan apa yang berlaku sekarang. Bukan sekadar melihat kesan sejarah, misalnya, A Famosa atau mengenang sebarang tarikh-tarikh.
Dengan harapan dapat dijadikan ingatan dan pedomen buat umat Melayu, sesuai dengan pepatah, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Sedihnya, Singapura terlepas dari kekuasaan Melayu sudah dua kali. Baru-baru ini, terlucut sedikit lagi.
Walaupun penulisnya hanya cuba memaparkan kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara tahun 1800 hingga 1840 di Melaka dengan memadan kisah-kisah yang ditulis dalam Hikayat Abdullah.
Menariknya buku ini, penulisnya merangka semula tarikh-tarikh sebenar, menjawab atau memperbetul kekeliruan dan cuba memahami beberapa tindakan Abdullah.
Abdullah sering memperkatakan tentang keharmonian kaum tinggal di Melaka walaupun setiap bangsa duduk berasingan. Catatan sejarah pun menunjukkan tidak berlaku permusuhan kaum ketika itu.
Hingga Abdullah menggambarkan, seorang budak dari bangsa lain, boleh ditegur oleh anggota bangsa lain; malah boleh dipukul oleh bangsa lain dengan tujuan mengajar budak itu. Ibubapa budak itu tidak akan marah. Hari ini, usahkan hendak tegur, tenung pun takut-takut walaupun sebangsa.
Kerukunan yang digambarkan Abdullah itu disebabkan wujud kesetiaan masyarakat pelbagai kaum terhadap segolongan kecil pemerintah yakni penjajah. Ia merujuk kepada teori plural society.
Mengenai Kota Melaka atau A Famosa, Abdullah berjaya memberi gambaran tepat mengenainya. Abdullah sendiri mempunyai kenangan manis di situ hingga mendapat gelaran Munsyi atau Guru yang lekat hingga sekarang.
Cuma Abdullah salah fakta dengan mencatat pintu gerbang A Famosa dibuat oleh Portugis. Yang sebenarnya dibina semula oleh Belanda.
Begitu juga halnya, tentang kerja-kerja meroboh kota tersebut. Abdullah sendiri yang menyaksikan hikmat orang putih berjaya meruntuhkannya. Pada pandangan awal penduduk Melaka, ia sesuatu yang mustahil.
Tindakan meroboh tersebut disebabkan oleh dasar Syarikat Hindia Timur Inggeris yang ingin berundur dari Melaka dan menumpu kepada pembangunan Pulau Pinang. Namun pembekuan polisi itu berjaya menyelamatkan beberapa bangunan bersejarah yang dapat dilihat hingga hari ini. Runtuhnya Kota Melaka, hilang lah seri negeri Melaka. Ini menunjukkan Inggeris tidak amanah.
Jika tidak Melaka kini boleh berbangga wujudnya kota pertahanan yang besar dan dapat menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. Mungkin setanding dengan beberapa monumen besar dunia sekarang.
Tetapi cepat-cepat datang di benak kita, untuk apa berbangga dengannya? Sebuah kota penjajah!
Selain itu, kekeliruan yang ditimbul Abdullah mengenai perang Inggeris- Belanda menawan Melaka. Salah faham itu cuba dijernih kembali oleh penulis. Tiada perang sebenarnya berlaku. Hanya tembakan gertakan kerana dipihak Belanda tidak mendapat maklumat tentang persetujuan pengambilalihan Melaka. Adrian Koek pastinya, disalah anggap sebagai pembelot Belanda oleh penduduk Melaka kerana membenarkan Inggeris mendarat di kebunnya. Tindakan itu lebih kepada perundingan.
Sekali imbas Abdullah terlalu memuji pihak penjajah. Adakalanya sampai menjatuh maruah kekuasaan Melayu. Tapi,bila difikir-fikir ada betul pujian dan kritikan beliau itu.
Dalam banyak sebab pujiannya terhadap Inggeris ialah tabiat pegawai Inggeris yang suka mengkaji dan menyelidik tentang alam dan manusia di alam Melayu. Raffles sendiri suka mengumpul menuskrip dan surat-surat Melayu lama. Selain spesimen flora dan fauna. Sikap Inggeris ini benar-benar memikat Abdullah. Ayah Abdullah sendiri pun bekerja mengumpul surat Melayu lama untuk pegawai Belanda. Sampai habislah khazanah Melayu..
Darihal Raja Farquhar, Residen Melaka, yang menarik tentangnya adalah isteri beliau. Mengapa Abdullah tidak menulisnya? Sedangkan beliau menceritakan mengenai isteri Raffles dengan memuji ''barang lakunya serta dengan bijaksananya.'' Iaitu seorang yang rajin dan berdisiplin.
Betulkah isteri Farquhar Melayu? Dikatakan mereka tidak berkahwin secara sah,sebaliknya hanya perempuan simpanan (mistress) Farquhar. Oleh itu isteri Faquhar kurang bergaul dengan masyarakat.
Jika betul andaian tersebut, bagaimana perasaan Abdullah? Adakah beliau rasa sedih atau lebih lagi, rasa jijik hingga tidak menceritakan dalam hikayatnya?Jika benar, pasti beliau juga seorang yang sensitif terutama murtad.
Kesimpulannya, Abdullah boleh dianggap penterjemah dan guru Bahasa Melayu yang kaya di zamannya.
Judul:Kenangan-kenangan Abdullah Munsyi
Pengarang:Zahari A.Rashid
Penerbit:ibs buku
Tahun:2008
Wednesday, February 1, 2012
Kali Pertama Membaca Tulisan Nawal

Membaca tulisan Nawal El Saadawi,The Hidden Face of Eve terjemahan Indonesia ‘Perempuan Dalam Budaya Partriarki’.Mula-mula beliau mengkisahkan tentang pengalaman ngerinya disunatkan pada usia 6 tahun. “…kedua pahaku terbuka lebar dan setiap pergelangan kakiku dipentang sejauah mungkin, digenggam oleh jari-jari kuat yang tak akan pernah melepaskan tekanannya.Aku merasa pisau atau pedang yang digesek-gesekkan tadi diturunkan mengarahkan ke tenggorokanku.Tapi tiba-tiba matanya yang tajam turun ke celah di antara kedua pahaku dan memotong sekeping daging dari tubuhku.Aku berteriak kesakitan….”
Di halaman lain ia menyoal, ‘’Jika agama berasal dari Tuhan, bagaimana mungkin ia menyuruh manusia memotong sebuah organ yang Ia ciptakan, padahal organ itu bukanlah penyakit atau cacat?”Satu pertanyaan yang boleh menggoncang keyakinan pembaca yang cetek pengetahuan.
Seterusnya beliau memperihal beberapa kes pemerkosaan atau pencabulan seksual ke atas perempuan yang ditanganinya selama menjalani profesion kedoktoran.Begitu juga soal keperawanan,kehormatan keluarga dan keperluan seks dalam masyarakat Arab.Benar-benar memperlihatkan PEMBERONTAKKAN Nawal El Saadawi yang disesetengah tempat menghukum aturan atau kekangan atau tafsiran agama( Islam)-lah yang memburukkan lagi keadaan ini.
Namun, disesetengah hal beliau menyimpulkan, ‘’Penindasan wanita pada hakikatnya bukanlah disebabkan oleh ideologi keagamaan atau baik yang lahir dalam masyarakat barat atau timur, tapi berakar dari sistem kelas dan sistem patriarkat yang telah menguasai umat manusia, sejak perbudakan(perhambaan) menusia berlangsung.”
Kadang-kadang beliau membela agama, kadang-kadang beliau menghentam agama.
Nawal El Saadawi
The Hidden Face of Eve terjemahan Indonesia ‘Perempuan Dalam Budaya Partriarki’
Pustaka Pelajar
Cetakan Pertama 2001
Nota: Ini hanyalah gambaran awal saya untuk pertama kali saya membaca tulisannya.
Wednesday, December 28, 2011
Tuhan Manusia

Nota:Resensi ini pernah diterbit di blog ini sebelum ini.Penyiaran kembali untuk memanaskan kembali semangat supaya saya dapat menulis kembali resensi buku seperti sebelum ini.Semangat!Semangat!
Mereka terus berhujah mengaruhi kita; ''Setelah kita mengkaji dan mengkaji, kita dapati semua masalah yang timbul di dunia hari ini ialah kerana agama. Agamalah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah, saling bertentangan sehingga bukan sahaja permusuhan ini berlaku antara agama tetapi juga dalam agama itu sendiri.''
Lihatlah apa yang berlaku di Pakistan antara Syiah dan Sunnah, pengeboman sentiasa berlaku.Di Ireland utara, sama-sama Kristian pun berbalah. Di mana lagi? Oh di kampong kita pun Wahabbi dan bukan Wahabbi sentiasa bertekak—tuhan di atas arasy, tuhan bertangan—sampai berbalah satu kampung.
Mereka cuba mengelirukan lagi; '' Itu sunnah Allah. Kalaupun ada orang nak murtad asalkan mereka baik tidak menjadi hal. Agama sama. Semua orang yang baik masuk syurga. Takkan kau nak hujahkan Mother Theresa masuk neraka? Dia baik. Takkan kau nak hujahkan Mahatma Gandhi juga masuk neraka, sedangkan dia orang baik.''
Dan mereka terus menyesatkan lagi; '' Islamkan agama bebas, tiada paksaan terhadap agama. Kita mendorong dan mengajak orang masuk Islam, kenapa pulak kita nak larang orang meninggalkanya.''
Begitulah antara beberapa kutipan hujah yang selalu di utara mereka, golongan pluralisme dalam usaha menyesatkan umat Islam atas dasar kebebasan intelektual melalui novel terbaru Faisal Tehrani, Tuhan Manusia. Mahu tidak mahu sudah ramai antara kita sudah terpengaruh akan konsep tersebut.
Lewat novel ini Faisal Tehrani memberi kita jawapan terhadap putar belit pendukung pluralisme dan liberalisme agama. Betul kata Faisal tidak banyak buku-buku di terbit bagi menjawab persoalan-persoalan yang dilontar golongan ini berbanding buku yang menyokongnya. Kalau adapun kebanyakan buku terlalu akademik.
Khutbah Faisal Tehrani ini hadir dalam masa sesuai dikala umat Islam negara ini memikirkan gejala murtad yang menjadi kerisauan masyarakat. Masalah murtad isu sangat sensistif orang Islam. Kebanyakkan kita sekarang ini terlalu menyalahkan gerakan misiniori berbanding mengkaji hingga ke akar masalah ini boleh berlaku. Dan inilah yang cuba di gali Faisal Tehrani menerusi watak Ali Taqi.
Ali Taqi seorang pelajar sekolah asrama penuh menjadi pengulit falsafah dalam usahanya memahami kemurtadan abangnya, Talha. Ayahnya banyak diam sejak itu atau banyak bermain-main dengan haiwan ternakan. Falsafah ibunya menjadi pengangannya,'Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, menurur ibutiang serinya adalah agama.'
Pencariannya telah mendedahkan keegoan pemikiran manusia yang suka mencabar hakikat ketuhanan atas dasar merai kebebasan berfikir.
Contohnya orang seperti Zehra, rakan sekelasnya yang sudah terpengaruh dengan kerja-kerja ayahnya Encik Aris Iskandar, editor majalah liberal yang juga seorang juga seorang peguam hak asasi manusia. Kebetulan pula menjadi peguambela Talha. Antara mereka berdua selalu berlaku perdebatan.
''Kalau mereka nak murtad,murtadlah......Islam membenar dan memberi kebebasan beragama...''
''Habis kalau kau nak murtad, aku biarkan!.''
Begitu juga dengan Encik Aris yang jelas sudah terpesong atau gagal memahami masalah pluralisme dalam pandangan Islam. Tindakannya menyokong idea peleburan pegangan semua agama menjadi satu yang dibawa John Hick, jika difikir tidak logik di akal. Benar kata Allahyarham Hamka, kalau agama sama buat apa beragama.
Dalam konteks negara Malaysia yang majmuk, kita ada majoritinya Islam. Kita ada penganut Buddha. Ada Kristian dan Hindu. Mana mungkin boleh bersatu. Lihat tujuan kehidupan agama Kristian, Yahudi dan Islam adalah mencapai kebahagian di akhirat. Tetapi buddha mencapai nirwana. Orientasi mutlak orang Islam ialah keesaan tuhan iaitu Allah. Kristian dengan konsep triniti.
''Dalam agama Hindu, Brahman iaitu hakikat ketuhanan yang satu di sembah mengikut tiga menisfestasi yang utama: Vishnu (Yang Pemelihara),Shiva (Yang Menghancurkan) dan Shanti ( Ibu Ketuhanan).''
Pandangan Islam sudah jelas tentang pluralisme menerusi al-Quran, Surah Ali Imran ayat 64: '' Hai ahli kitab, marilah kepada suatu kalimat yang tidak ada perselisihan anatara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak( pula) sebahagian kita menjadikan yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang yang menyerah diri ( kepada Allah ).''
Islam mengajak semua tidak kira apa bangsa dan agama kepada kesejahteraan Islam tetapi tidak boleh sesekali memaksa mereka kepada Islam. Tidak boleh memerangi dan berperang dengan mereka kecuali jika mereka mengancam umat Islam. Inilah toleransi yang dianjur Islam.
Sebenarnya seperti yang didedah Faisal masalah pluralisme berakar dalam agama Kristian bagi menerang paderi yang terlibat dalam perdagangan. Paderi itu di panggil pluris kerana membauat dua kerja atau banyak kerja. Selepas itu wacana plurisme berkembang dalam semua lapangan hidup manusia termasuk dalam soal keyakinan. Dengan inilah wujud idea menyatakan kebenaran tidak terletak pada satu agama secara mutlak. Orang seperti Encik Aris khilaf tentang pluralisme.
Pada mulanya memang gereja menentang idea pluralisme tetapi setelah mereka melihat banyak kebaikan yang boleh didapati dalam menjayakan misi murtad terutama ke atas orang Islam dengan berselindung atas hak asasi manusia, mereka menyokong. Meraka tidak akan berhenti mempengaruhi kita. Kalau agama sama buat apa mereka hendak jalankan lagi misiniori. Dan Talha terpengaruh.
Membaca novel ini boleh memberi kita kepuasan intelektual yang tidak sedikit-di selit fakta-fakta dari sumber berprofail, tajuk-tajuk buku yang boleh dijadikan rujukan dan semestinya nas-nas al-Quran mengukuh hujah.
Demikian juga halnya mengenai masa depan pendidikan negara. Tindakan Faisal mewujudkan watak pengetua berfikiran terbuka yang membenarkan pelajarnya menganjur forum pluralisme di sekolah dilihat satu anjakan paradigma pentadbir sekolah. Mungkin
Paradoks dalam realiti dasar pendidikan sekarang yang nampaknya penuh dengan aktiviti menghafal dan latih tubi untuk mendapat sebanyak mungkin 'A' dalam peperiksaan.
Saya, aku, engkau, dan dia itulah sisi pandangan Faisal kali ini untuk kita semua.Biarpun kita seperti memaling ke kiri dan kanan.
Tuhan Manusia
Faisal Tehrani
AmeenBook
Tuesday, December 27, 2011
Ulama Besar Patani Dalam Sejarah

Patani (atau selatan Thai) hari ini lebih dikenali dari sisi-sisi negatif -- tempat orang melepas nafsu,lubuk judi, sabung ayam mahupun laga orang. Dan pelbagai tanggapan negatif lagi.Sememangnya gambaran sedemikian amat mengecewakan orang Patani. Namun orang Patani harus menerimanya.
Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu., Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan.
Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fathani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20.
Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak., Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."
Buku yang meletakkan Sheikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;, "Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim).
Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan., Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok., Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong.
Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.
Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.Isu ketuhanan, tentang sembelihan dan beberapa isu lagi yang dibawanya telah menimbul perdebatan hangat. Sebelum tahun 60-an boleh dikatakan ulama Patani sekata dalam banyak hal sebelum kemunculannya.Banyak pihak berpendapat ketegasannya tidak digunakan untuk membangun masayarakat Patani yang ditekan kerajaan tahun-tahun 60-an dan 70-an. Sebaliknya banyak berpolimik dalam isu khilafiyah.
Ayah saya antara anak muridnya yang sepuluh tahun memondok di Bendang Kebun. Saya dapat rasa akan pengaruh tok gurunya dalam kehidupan seharian ayah. Ayah seorang yang tegas dan keras pandangannya. Selalu berlaku pertentangan dalam diri saya -- tentang apa yang diajar oleh ustaz di sekolah( Malaysia) -- dengan apa yang diajar oleh ayah pada sebelah malam megikut faham gurunya. Namun saya bersyukur dibesar dalam dimensi pemikiran yang berbeza-beza. Ia membuat kita lebih terbuka dan memahami.
Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelit keberkatan tuan guru atau lebih difahami masyarakat Melayu sebagi keramat. Masyarakat sangat menghormati tok guru kerana keramatnya termasuk penjahat tempatan. Oleh itu pada zaman dahulu ulama yang menjadi tempat penduduk bergantung harap mendapat pertolongan atau perlindungan dari samseng-samseng. Terutama melindungi anak-anak gadis yang sentiasa menjadi sasaran culik pada masa itu.
Secara umumnya buku terbitan Penerbit UKM secara langsung menambah lagi koleksi bahan-bahan bertulis tentang Patani dalam dunia perbukuan moden. Lebih-lebih lagi terbitan versi jawi telah memberi ruang kepada pembaca khususnya selatan Thai. Saya masih ingat satu kuiz yang dianjur radio tempatan tentang sejarah Patani ketika tahun aman dahulu, tidak disangka ramai pemanggil berebut-rebut terutama muda-mudi untuk menjawabnya. Hadiahnya buku ini. Saya merindui masa itu.
Nota:
Ulasan buku ini adalah antara tulisan saya yang terawal diterbit di media massa, Milenia Muslim(lupa tahun bila). Entri ini pernah disiar sebelum ini.Mahu menghangatnya balik.


