Saat ini, saya sedang menyusun sebuah kumpulan cerpen, Orang-orang Patani, sebuah buku tentang Patani dan orang-orangnya. Saya akui, cerpen saya tulis masih banyak kekurangan, dan saya berharap kumpulan cerpen ini dapat diterbitkan tahun depan, itu sasaran awal saya. Cerpen '' Sayap-sayap Patah'' ini adalah cerpen pertama saya dalam Bahasa Melayu,di siar dalam sebuah majalah pada tahun 2007, dan kelemahannya tertonggeng di sana-sini.Harap maklum.
Sayap-sayap Patah
Isma Ae Mohamad
'' Ini perjuangan aku!'' laung abang marah. '' Aku mesti balas dendam!Untuk ayah kita.Untuk ibu kita dan untuk tanah air ini. Takkan kau nak diam bila ibubapa kita kena bunuh!'' Abang menyinga.
Aku tunduk, diam. Bola mataku meliar-liar ke lantai beralas tikar getah corak bunga-bunga. Aku sedar di depanku sekarang, amarah abang sedang membuak-buak. Marah. Sangat marah akan pertanyaanku dan pujukanku tadi.
'' Aku tidak akan berhenti,'' abang menyambung. Kali ini dengan nada menurun. '' Kau tidak payah masuk campur. Belajar dulu. Aku lelaki sulung dalam keluarga ini. Dah menjadi tanggungjawab abang.''
Abang! Baru abangku menyebut abang. Sejak tadi lagi dia berbahasa 'aku' denganku. Tidak pernah sebelum ini abang berbahasa sedemikian walaupun pernah marah-marah atau meninggi suara padaku atau adik-adikku atas sebarang tindakan yang tidak wajar pada pandangan seorang abang. Tidak pernah. Aku dapat merasakan bahang amarah abang sampai pada adik-adikku, mereka nampak diam di ruang tamu. Jika tidak mereka pasti akan berlari-lari ke sini, ke dapur.
' Tapi abang, kita masih ada dua orang adik lagi. Sekolah dasar masih belum tamat,'' aku cuba meneriak tetapi tekakku terasa sakit sakit. Pedih.
' Kalau berlaku apa-apa pada abang.....'' Belum sempat aku menghabisi abang cepat-cepat memotong.
'Ahh! Ini jihad. Fisabililah. Allah sentiasa menjaga keluarga orang-orang jihad.'' Aku tunduk semula. Kali ini mataku terarah pada kawanan semut bersama-sama mengangkat sebutir nasi ke satu sudut tiang. Berat sama di pikul, ringan sama di jinjing. Memang sesuai pepatah ini. Tetapi tidak buat aku dan keluarga aku. Aku tidak mungkin dapat menyerap beban terpikul pada abangku. Perjuangan abangku sudah lain dariku. Dan abang pula tidak memahami beban sebenar harus dipikulnya.
''Jaga adik-adik. Abang nak pergi mengajar.'' Abang terus meninggalkan meja makan. Meninggal separuh air kopi masih hangat. Membiarkan aku yang selalunya dipanggil ngah ini terkepung -- ketakutan, kebimbangan dan kecelaruan.
Setiap hari kebimbangan pada keselamatan abang semakin meresahkan aku. Masa depan abang, masa depan kami juga. Kami atau adik-adikku terlalu memerlukan abang. Mereka masih bersekolah. Aku baru habis tahun kedua di universiti. Kalau berlaku apa-apa pada abang, maksudku kalau abang tertangkap atau terr......nauzibillah. Bagaimana dengan adik-adikku? Ya, aku masih ada mak saudara dan bapa saudara. Tapi mereka lain. Tidak sama macam ayah ibuku. Maksudku tentang masa depan.
Kedengaran kereta abang meraung-raung di halaman. Raungan itu semakin menjarak dari telingaku. Aku melangkah ke jendela. Kelihatan jalur-jalur tayar membekas dengan jelas, menganjur ke jalan bertar lebih kurang dua puluh meter. Kereta di pandu abang hilang selepas membelok di selekoh, selekoh masjid yang lebih dikenali penduduk.
Adik-adikku, Aman dan Amin kelihatan murung di serambi. Hari ini mereka tidak pergi ke sekolah, semalam lagi mereka tidak sekolah. Sekolah mereka di bakar subuh kelmarin. Entahlah bila mereka dapat ke sana. Kata guru besar, seminggu lagi siaplah khemah. Melihat adik-adikku sungguh malang nasib anak-anak wilayah ini. Betapa ruginya mereka - anak-anak Melayu - anak-anak orang Islam juga.
'Ya Allah, selamatkan wilayah ini, selamatkan abangku, selamatkan keluargaku,'' berkali-kali aku berbisik di hati. Namun hatiku juga tidak tenang. Mana-mana perjuangan ada satu penyakit yang selalu dihinggapi iaitu pengkhianatan.Osman! Serta-merta aku teringat padanya. Pada perbualan dengannya tempoh hari.
''Kau pulang untuk berjihad juga ke?''
''Kan aku pulang dari menuntut ilmu.''
''Ya tak ya jugak.Kamu kan belajar sains di sana, mesti boleh buat bom lebih hebat menggegar.''
''Eh! Jangan celupar mulut. Aku tak terlibat dengan benda-benda tu. Itu bukan cara aku berjihad. Jihad aku cari ilmu.''
''Tapi jihad ni pun perlu orang pandai macam......abang kau. Tengok sejak abang kau ambil alih KKK banyak soldadu kena bunuh,'' bisik Osman.
Aku sungguh terkejut dan rasa hendak tampar Osman pada masa itu. Berani dia fitnah abangku. Sukar aku hendak menerima yang aku anggap fitnah pada ketika itu. Osman yang terkenal dengan gelaran pemberita bebas kampungku. Setiap berita atau cerita yang di sampaikannya sangat dipercayai orang kampung. Ini yang membuat aku bimbang. Macam mana orang sepertinya boleh mendapat cerita yang abangku terlibat dengan pemberontakan dan mengetuai pulak kumpulan KKK sebuah kumpulan pemisah yang dianggap pengganas itu.
Aku cuba melupakan cerita Osman. Tetapi sifat ingin tahuku membuat aku tidak dapat duduk diam. Aku cuba memerhati abangku. Aku menganalisisnya setiap tingkah lakunya, percakapannya dan setiap cara hidupnya. Pada fikiranku abang sudah berubah dan memang banyak yang berubah. Aku semakin mengesyakinya.
Akhirnya teka-tekiku terjawab. Selepas aku selongkar semua fail-fail abang, nota-notanya dan surat menyuratnya. Semuanya jelas padaku. Hatiku sungguh kecewa.
Sejak hari itu aku cuba memujuk abang. Aku berpura-pura bercakap tentang masa depan perjuangan pemisah agak kabur.Untuk memerdekakan Patani adalah suatu kerja yang tidak realistik.
'' Ngah rasa perjuangan kali ini pun akan gagal lagi seperti yang sudah-sudah. Kebanyakan orang tidak menyokong lagi idea merdeka. Mereka mahu hidup aman, bebas dan senang. Tidak begitukan abang.''
Tiada juga reaksi dari abang, diam mengadap surat khabar.
Esoknya,aku cuba lagi, dengan nada mengeluh di depan abang."Apa nak jadilah tempat kita sekarang. Tak habis-habis dengan bunuh, tembak, bakar dan pelbagai lagi. Nampaknya perjuangan sudah kacau. Banyak ikut nafsu, ikut dendam yang tak habis-habis.'' Namun abang tetap diam membisu juga seperti kelmarin. Di hatiku kala itu aku menetap esok iaitu pagi tadi, aku mesti berterus terang dan memujuk abangku keluar dari perjuangannya. Perjuangan pada anggapanku di wilayah ini yang lebih penting adalah merubah minda masyarakatnya. Bukan terus membekak dengan dendam dan kebencian.
Pagi tadi aku memulakannya. Walaupun aku teragak-agak dan takut, aku kuatkan semangat. Padaku untuk bercakap benda serius adalah pada waktu pagi. Aku percaya waktu pagi kebanyakan orang masih segar fikirannya. Dengan tekak seolah-olah disekat sesuatu aku meluahkan juga. " Betul abang terlibat?'' Aku dapat rasa perubahan air muka abang. Terkejut. Aku menerusnya.
"Betul ke abang ketua KKK......yang baru. Ngah tahu abang terlibat.'' Abang nampak betul-betul terkejut.
Aku menyambung lagi. ''Mengapa abang terlibat?'' Abang mengerling tajam. " Dulu ngah bangga sama abang. Abang berpendidikan tinggi. Abang seorang toleransi, berfikiran jauh dan benci kepada keganasan. Adakah kerana ayah, kerana ibu kita kena bunuh, membuat abang berubah? Ngah juga marah dan sedih akan itu tetapi takkan abang tidak ingat pesan ayah, pesan ibu. Tolonglah abang berhenti. Keluar dari perjuangan sia-sia tu. Jihad abang adalah pendidikan. Abangkan cikgu. Bukan dengan bom.''
''Ini perjuangan aku.'' Laungan abang tadi bergetar semula di benak pemikiranku.
Abang! Takkan abang sudah lupa pesan ayah kita, ibu kita. Abang masih ingatkah pesan mereka, nasihat mereka. Aku merintih sendirian.
Mereka pesan kita jadi orang baik-baik. Jangan ikut emosi. Kerana emosi boleh bawa belah. Kerana emosi kita diperguna. Kita akan dihina. Berjihadlah ke jalan yang betul dan ketika yang betul.Di mana dunia Islam sekarang? Aku merintih sendirian.
Takkan abang lupa. Atau abang buat-buat lupa. Ngah juga tak lupa pada leteran abang dulu. Masa ngah ditangkap kerana ponteng sekolah. Abang masih ingat leteran itu. Ngah masih ingat semuanya:
''Ngah tahu tak mengapa ayah ibu susah-susah kerja supaya kita dapat belajar tinggi-tinggi. Ngah tahu kenapa? Mereka tak nak kita jadi bodoh. Tengok kawan-kawan ngah yang sama miskin dengan kita, dimana mereka sekarang? Di Malaysia. Jadi kuli di sana. Sekolah tidak habis. Kita akan terus diperbodoh sebab kita sendiri pun bodoh.Ngah patut bersyukur punya ayah ibu yang berfikiran jauh. Walaupun mereka penoreh getah. Mereka pekakkan telinga nak sekolahkan kita tinggi-tinggi dari mulut orang kampung. Ngah pun tahu orang kampung ini. Mereka hanya fikir hanya anak orang kaya dapat belajar tinggi. Baik! kalau tak mahu lagi sekolah, esok pergi buat pasport, kerja di Malaysia.''
Leteran abang ini sangat berbekas padaku. Aku mula berfikir mematangkan diriku. Seperti sekarang ini di jendela, aku sedang berfikir.
Amin pula tidak sabar hendak mengetahui keputusan peperiksaan yang di dudukinya pada minggu lepas. Namun semua itu rasanya sudah menjadi abu kertas pada subuh kelmarin.
Subuh kelmarin ketika aku mengkhabarkan tentang kebakaran sekolah, mereka nampak sukar hendak percaya. Pagi-pagi lagi aku membawa mereka melihat. Namun begitu mereka tetap mahu memakai uniform sekolah. Sesudah sampai di perkarangan sekolah yang tinggal rangka itu, mereka menangis teresak-esak. Murid-murid lain juga ikut menangis. Aku juga sebak. Tapi aku tahan kuat-kuat. Aku berjaya menahannya masa itu. Kini dadaku sebak kembali. Kali ini aku gagal menahan air mata panasku meleleh keluar.
Jarum jam sudah mengarah tepat angka sembilan. Sembilan malam. Hatiku semakin berdebar-debar. Abang masih tidak balik-balik. Sekolah tempatnya mengajar bukannya jauh, cuma 15 kilometer dari sini. Hatiku menjadi berkecamuk. Pelbagai andaian yang datang. Semuanya negatif, buruk-buruk belaka.
Sudah berkali-kali aku cuba menghubungi telefon bimbitnya, semuanya hampa. Hatiku semakin risau. Melihat masanya sudah tiba. Masa yang ditetap pemerintah. Masa untuk berkurung. Masa yang tidak dibenar keluar malam sesuka hati. Kampung termasukku termasuk antara kampung yang di senarai merahkan. Tandanya kawasan panas.
Adik-adikku juga nampak risau. Mereka tidak menonton TV malam ini tidak seperti selalu pada masa-masa begini. Mungkin di hati mereka juga berdoa seperti aku sekarang ini, diam-diam supaya abang lekas pulang. Pulang dengan selamat.
Inilah malam yang paling menyesak dadaku dalam tempoh bercutiku di kampung. Malam ini, sudah seminggu aku pulang berehat setelah empat bulan meninggalkannya. Meninggal kampung ibarat meninggal jauh-jauh segala kebencian, dendam dan ketakutan siang malam. Namun, keresahan tetap hadir ke mana-manapun aku pergi, seperti malam ini resah aku menanti abang. Perasaan resah itulah yang membuat aku tidak sabar-sabar pulang ke kampung.
Hanya sekali perasaan lega hadir. Itupun pada malam itu. Pada malam runtuhnya ego perdana menteri yang dibenci kebanyakkan rakyat. Semua penentangnya dan semua yang menjadi mangsa kezalimannya bergembira. Lebih-lebih lagi aku. Aku sudah membayang damainya kampungku selepas ini - jalanraya tanpa ada sekatan dawai berduri, tidak ada kereta perisai di kampung seperti pada lukisan adikku atau tidak ada kedengaran lagi bom atau tembak menembak.
Aku sebelum itu berhari-hari bersama-sama berarak dan berhimpun di depan istana, memohon restu raja menggunakan kuasa rakyatnya. Tidak kira hujan atau panas semuanya bersatu dengan skarf kuning dan ada juga baju kuning membentuk kekuatan hati.Mohon dijatuhkan perdana menteri yang zalim itu, Thaksin Shinawatra!
Pada mulanya aku tidak berminat dengan perhimpunan tersebut. Bagiku ianya membuang masa dan lebih baik aku menumpu kepada pelajaran. Semuanya berubah ketika aku melintas depan pentas aku mendengar dengan jelas sekali, dia seorang tua, berbaju tradisi biru berucap dengan perasaan bercampur-campur. Dia berkali-kali menyebut keadilan untuk wilayah selatan. Perkataan selatan terlalu sentimental buatku.Dia seolah-olah tahu tentang itu dan cuba memancing minat aku berhimpun bersamanya dan aku terpancing.
Aku mengikuti perhimpunan itu tiap-tiap petang dan adakalanya malam. Semua berakhir dengan gembira setelah kereta-kereta kebal mengambil tempat depan istana, di depan pejabat pos besar dan rumah kerajaan pada tengah malam itu. Tengah malam itu dadaku sungguh lapang. Lega.
Aku hampir-hampir sujud syukur kerana itu. Syukur atas kejatuhan perdana menteri itu. Deringan telefon membatal niatku. Lagipun pemanggilnya abangku. Aku yakin saat itu, abangku juga ingin berkongsi rasa gembiranya tengah malam itu. Tetapi dengan suara yang terketar-ketar dan lemah ketika memberi salam, secara tiba-tiba mengubah persepsi awal aku. Darahku berderau keseluruh saraf otakku. Aku menjangka berita buruk akanku terima.
''Ngah, ayah.....ibu.... sudah tiada. Mereka sudah mati. Mereka kena tembak maghrib tadi.'' Aku tidak dapat berkata apa-apa. Membisu di hujung talian. Hatiku rasa di cucuk-cucuk. Sampai malam inipun aku masih merasainya jika aku teringat pada ayah, pada ibu.
Aku mendapat pelbagai versi pembunuhan kedua-dua orang tuaku. Ada yang kata ayah di tembak tentera untuk menimbul kekacauan di kampung ini. Ada yang kata ayahku seorang pemberontak. Dan yang paling berlegar-legar di kalangan penduduk, ayah di bunuh tentera. Mungkin ini yang membuat abangku merubah fikiran. Yang rasmi dari kerajaan hanyalah, siasatan akan di jalankan bagi menentu motif sebenar pembunuhan. Semua itu aku telan pahit-pahit. Sama seperti aku menelan akan kebenaran tentang abangku.
Malam yang sunyi ini aku dapat merasa sesuatu bergerak dengan padu ke arah rumahku. Bunyi derap-derap semakin jelas. Aku pasti itu tentera. Debar hatiku semakin kencang. Jelas beberapa buah trak telah berhenti di halaman rumah. Pintu di ketuk sambil suara parau memperkenal diri. Adik-adikku dalam ketakutan. Aku memberanikan diri membuka pintu. Cahaya terang benderang menggelapkan mataku. Aku ditolak rebah, di tiarap dan ditekan dilantai. Kedengaran adik-adikku menangis.
"Geledah rumah pengganas ini.'' Suara parau itu mengarah. Semua sudah kabur bagiku.
Nota: Insya-Allah saya akan menyambung kisah ''Sayap-sayap Patah'' ini, mungkin dalam bentuk novel.
1 comments:
tak sabar nak baca.
-a reader-
Post a Comment