Ada sebuah buku yang diterbit oleh--kalau tidak silap saya-- Jabatan Muzium dan Antikuiti, sebuah buku bersaiz besar. Saya lupa judulnya, ia tentang dunia meriam di Alam Melayu. Saya sedang mencari buku itu semula. Jika ada sesiapa tahu buku tersebut sila nyatakan kepada saya. Saya sangat memerlukannya, untuk menyudahkan salah satu bahagian dalam novel sejarah zaman Ratu-ratu Patani yang sedang ditulis.Harus diingat, Patani juga mempunyai meriam, yang punya lagendanya tersendiri.
Di bawah adalah sedikit sedikit sedutan bab mengenai meriam dalam kesultanan Patani.
"Awal tahun 1564 Masehi, dalam hujan lebat serta guruh berdentang-dentum di sungai Chao Pharaya berhampiran permukaan kuala, Nang Liu-liu telah menunjuk aksinya yang hebat. Di buritan kapal, Nang Liu-liu melepas tembakan berdas-das menghancurkan segerombolan perahu tentera Ayutthaya yang sedang mengejar. Bedilan Nang Liu-liu itu telah menjadi sebab terselamatnya Raja Mansor serta hulubalangnya dari terkaman tentera Ayutthaya yang menggila dengan parang panjang siap untuk dilibas. Dan baginda selamat tiba di Patani dengan kesugulan.
Diceritakan, menurut orang tua-tua, Raja Mansor telah menabalkan Nang Liu-liu dengan membalut kain kuning menutup tubuh hitamnya yang telanjang, serta menepung tawar dalam satu perarakan kerana mengenang budi Nang Liu-liu yang menyelamatkan baginda.Yang mana sebelum itu baginda telah berjanji saat maut hampir menjerut leher baginda di tangan pahlawan Ayutthaya yang semakin mendekat,"Hai, Nang Liu-liu, jikalau engkau lepaskan aku selamat sampai ke Patani aku akan tabalkan engkau selama tujuh hari." Serta-merta Nang Liu-liu memuntahkan bebola api bak seekor naga mengamuk, menghancur kepala dan badan tentera-tentera Ayuthaya.
Dalam masa yang sama, nun di bawah deretan pokok sena tidak jauh dengan istana, berdiri bangsal-bangsal kecil yang dipanggil pondok mengeliling sebuah rumah yang agak besar, di dalamnya duduk seorang lelaki berserban di depan anak murid, lalu mengeluar fatwa bahawa adalah haram manusia mengangkat dan memuja selain Allah Taala! Tetapi fatwa ini hanya beredar dalam deretan pepohon sena itu sahaja yang dianggap sebagai pusat pendidikan Islam pertama dibuka di Patani. Ia tidak didengari pihak istana atau buat-buat tidak dengar, lalu penabalan Nang Liu-liu dengan diarak ke jalan-jalan berlangsung tujuh hari tujuh malam dengan beras kunyit bertaburan, kain kuning berkibaran sebagaimana adatnya barang dipuja. Jika ada rakyat Patani yang belum tahu atau orang luar samaada pedagang mahupun pengembara yang baru sampai di Patani, mereka tentu terkejut, Nang Liu-liu yang diarak itu hanyalah sebuah meriam kecil yang letaknya secara tertonggeng punggungnya kalau tidak digunakan di buritan kapal. Ya, kalau sebut Nang Liu-liu tanpa mengetahui ia sebuah meriam pasti yang tergambar di benak; seorang perempuan baru tiga bulan mengandung yang manis tersenyum di buritan kapal, bagai puteri ikan duyung bunting naik berjemur sambil membelai rambutnya yang basah. Itupun untuk mereka yang mengerti rahsia isi dalam bahasa lama-lama.
Saat Ratu Biru bersama Perdana Menteri dan Menteri Perang memeriksa alat kelengkapan perang kerajaan di Balai Perang, meriam Nang Liu-liu masih berbalut kain kuning. Baginda meneliti Nang Liu-liu, ekor mata baginda memanjang."Datuk Laksamana, bila kali terakhir Nang Liu-liu digunakan?"Baginda menjatuhkan kepala melihat bahagian bawah Nang Liu-liu.
Menteri Perang menelan air liur."Maksud Tuanku Pracau, kali terakhir ia menyertai perperangan?"
Baginda mengusap lembut ke atas badan Nang Liu-liu."Ya, nampak macam sudah lama tidak digunakan."Baginda berjalan mengeliling Nang Liu-liu.Perdana Menteri tercegat memerhati sahaja, kedua-dua belah tangan menyilang di punggung.
"Setahu patik kali terakhir ia digunakan ketika Marhum Tambangan mengerah angkatan perang menggertak negeri Pahang."Menteri Perang menjeling ke muka Perdana Menteri."Tetapi ia tidak melepas sebarang tembakan pun. Patik yakin kali terakhir Nang Liu-liu melepas tembakan ketika Almarhum Sultan Mansor meloloskan diri kejaran hulubalang Siam. Tidak begitu Datuk Besar?"
Perdana Menteri cepat membetul tegak badannya. "Ya, benar, Tuanku Pracau."
Ratu Biru menjamah bahagian bawah badan Nang Liu-liu pula dan menggosoknya. "Nampaknya Nang Liu-liu beta sudah lama tidur."Sejuk badan Nang Liu-liu meresap ke dalam jantung baginda, serta-merta terasa air mata baginda mahu gugur. Dada baginda membuak-buak, berkocak. Baginda tidak dapat menahan diri dari mengingati moyangnya, Sultan Muzaffar Syah yang tidak diketahui nasibnya selepas gagal menawan Ayutthaya dalam serangan pertama Sultan Patani ke atas kerajaan orang Siam itu. Semua orang Patani tahu kisah serangan ini, setidaknya pernah mendengar kisah ini. Kisah perang ini bermula apabila kerajaan Ayutthaya pimpinan Raja Chakrapat telah meminta bantuan ketenteraan dari Patani dan Kelantan membantunya menahan asakan tentera Burma dikepalai Raja Bhueng Noreng pada tahun 1563 Masihi dengan ketumbukan tentera seramai 200 ribu. Apa lagi, Sultan Muzaffar menyanggupi, baginda bersama kekandanya Raja Mansor dengan 200 perahu besar bergerak ke Ayutthaya dengan niat mahu membalas dendam kerana baginda rasa terhina dengan layanan buruk yang diterima ketika baginda melawat Ayutthaya setahun lalu. Masa itu Raja Chakrapat melayan baginda sebagai raja di bawah naungannya, sedangkan Patani negara bebas!Ini masanya, Ayutthaya mesti diajar! Bagi orang Siam, kisah serangan 'Pharaya Si Suratan' Patani tetap tidak dilupakan,ia adalah pembelotan pertama orang Patani terhadap Ayuthaya, dan ia ada dicatatkan oleh pencatat istana raja ketika itu dalam Babad diRaja Siam, Pharatchap hongsawadan Krung Kao merakamkan;
"Raja Patani memimpin orang-orangnya mengasak hingga ke laman istana. Baginda menunggang di atas gajah putih lantas turun dan mengamuk di medan perang. Orang-orang Siam yang semakin terdesak menahan serangan dengan meregang tali dan keluar memerangi orang-orang Patani sehingga ramai yang terkorban. Raja Patani berjaya menyelamatkan diri dengan sebuah perahu dan terus belayar."
Yang belayar menyelamatkan diri itu mengikut cerita orang Siam adalah Raja Mansor yang telah mengguna meriam Nang Liu-liu buat menghalau tentera Siam dari terus mengejar baginda. Nasib Sultan Muzaffar serta ribuan hulubalangnya yang masih menerus perperangan tidak diketahui kesudahannya. Khabarnya baginda dan seluruh angkatannya gugur di kuala Sungai Choa Pharaya dalam kepungan tentera Ayuthaya setelah enggan menyerah kalah. Terasa sebutir air mata jatuh ke atas kain kuning yang membalut Nang Liu, dengan cepat Ratu Biru menyekanya menghalang butiran air mata jatuh lagi. Perdana Menteri dan Menteri Perang saling bertatapan apabila melihat baginda tiba-tiba berair mata.Sebak.''
3 comments:
salam..
Wahh,menarik. Baru saja habis membaca novel Laskar Cinta. Memandangkan saya juga berketurunan patani, tak sabar hendak baca keseluruhan cerita tersebut.
Untuk bahan rujukan, boleh ke laman perpustakaan negara untuk pertanyaan.
http://www.pnm.my/index.php?id=271
Buku ni ada di perpustakaan negara dan class no buku tu : 358.1209595 OTH M.
Kedua, buku ini juga terdapat di perpustakaan alam dan tamadun melayu, UKM dan class no buku ni : UF113.M4O83 8
Pencinta Bahasa dan Anastasia, terima kasih ats info tersebut, nanti saya akan cari...
Post a Comment